Beberapa tahun lalu, saya menghadiri satu malam puji-pujian di Singapura yang dihadiri sekitar tiga hingga empat ribu orang. Saya masih ingat dengan jelas bahawa lagu terakhir malam itu ialah “Haleluya bagi Anak Domba”. Paduan suara mengajak seluruh jemaat untuk turut serta menyanyi:

  “Haleluya, Haleluya, Haleluya bagi Anak Domba, Haleluya, Haleluya, oleh darah Kristus kita berdiri,

 

  Segala lidah, segala suku, segala bangsa dan segala kaum, mempersembahkan kemuliaan, kehormatan dan pujian kepada Anak Domba, Anak Domba Allah.”

  Ketika suara ribuan orang bergema memenuhi stadium, kemuliaan Tuhan memenuhi seluruh tempat itu; berdiri dengan tenang tidak lagi dapat menggambarkan kegembiraan di dalam hati saya. Saya bahkan merasakan bulu roma saya meremang, lutut saya menjadi lemah, hampir sujud menyembah.

  Pada saat itu saya berfikir, jika pujian daripada beberapa ribu orang sahaja sudah begitu menggoncangkan hati, maka pada hari itu nanti apabila segala suku bangsa di langit dan di bumi berdiri di hadapan Kristus dan memuji-Nya bersama-sama, betapa agung dan mulianya suasana itu!

  Pada bulan September tahun ini, Persidangan Injil Hakka Global yang ketiga diadakan di Kuching. Walaupun saya tidak dapat hadir secara fizikal, namun melalui proses penyuntingan edisi khas ini, saya melihat karya Tuhan di kalangan orang Hakka di pelbagai negara dan wilayah.

  Bukan sahaja orang Hakka sendiri mempunyai beban yang besar terhadap bangsa mereka, malah ramai saudara dan saudari dari kaum lain, bahkan para misionaris asing turut melibatkan diri dalam pelayanan misi Hakka. Demi menyelamatkan jiwa-jiwa yang belum percaya, kesatuan tubuh Kristus di dalam Tuhan sungguh sesuatu yang indah dan berkenan.

  Dahulu sering dikatakan bahawa orang Hakka adalah “tanah yang keras”; namun saya percaya, tidak ada tanah yang terlalu keras sehingga tidak dapat ditaburi benih Injil oleh Tuhan melalui hamba-hamba-Nya, serta disirami dengan kasih yang sabar dan setia. Pada waktunya Tuhan, tanah keras ini akan berbunga dan berbuah dengan limpah!

  Lagu itu masih bergema di telinga saya hingga hari ini, dan menjadi kerinduan terdalam di dalam hati saya—tanpa mengira bangsa, negara, warna kulit, kaya atau miskin, lelaki atau perempuan, tua atau muda, sama ada Hokkien, Fuzhou, Kantonis, Teochew, Xinghua, mahupun Hakka… semuanya berdiri di hadapan Yesus Kristus dan memuliakan Tuhan yang sama!

  Pada hari itu, hanya akan ada langit baru dan bumi baru yang dipenuhi kemuliaan hadirat Kristus, dan tidak akan ada lagi “tanah yang keras”!

*Disediakan oleh Berita Methodist, Gereja Methodist Sarawak*

Leave a comment